Wednesday, December 23, 2009

Hikmah Yang Hilang


Maksud Al-Hadith Nabi s.a.w bermaksud "Hikmah itu adalah milik Muslim. Di mana saja kamu temuinya maka muslimlah yang lebih berhak ke atasnya". Apakah hikmah? Hikmah boleh ditakrifkan sebagai kebijaksanaan, kecekapan dan kematangan dalam sesuatu urusan. Orang2 yang berhikmah bijak dalam menangani sesuatu persoalan sehingga mampu membuat keputusan yang terbaik. Hikmah boleh dipelajari dan ia datang bersama ilmu dan pengalaman. Pengajarannya ialah jangan malas untuk belajar.

Thursday, December 17, 2009

Kembali Kepada ISLAM


Selamat menyambut maal hijrah 1431H. Kita dilahirkan dalam keadaan fitrah. Namun hati ini menjadi kotor sedikit demi sedikit lantaran kelalaian diri. Dengan bertambahnya usia maka semakin hampir kita dengan masa untuk kembali kepada Allah Yang Maha Pencipta. Peluang hidup di dunia ini perlulah diisi dengan amal soleh sebagai bekalan hidup di akhirat. Namun kesibukan perjalanan hidup harian kita sering membuatkan kita lalai dalam membuat persiapan. Akhirnya masa terus berlalu tanpa apa-apa yang signifikan. Di akhir zaman ni, realiti Islam dan umatnya semakin parah. Penyakit cinta dunia secara melampau, lemah iman, hati mati, rasuah, benci membenci, fitnah, cakap kotor, individualistik adalah perkara biasa dalam masyarakat hari ini. Jadi kerja2 dakwah dan mendidik memperbaiki suasana umat Islam yang rosak adalah amal utama yang perlu diberikan perhatian oleh setiap kita. Junjungan mulia Rasullullah s.a.w pernah bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya Islam bermula dari keadaan dagang, dan akan kembali dagang. sesungguhnya beruntunglah mereka yang berpegang dengan Islam di ketika mana ia dagang".
Dalam hadith yang lain junjungan mulia s.a.w bersabda bermaksud:
"Apabila Allah memberikan hidayah kepada seseorang hasil dari usaha kamu, maka itu lebih baik bagi mu dari dunia dan seisinya".
Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan Islam. Dengan penuh syukur dan rendah hati marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Tuhan kami, terimalah kami.

Monday, December 14, 2009

Wariskan Ilmu Bermanfaat



Setelah tamat saja pengajian di universiti, saya bercita-cita untuk menjadi seorang aktuari yang akan memberikan sumbangan kepada pembangunan negara. Saya berangan-angan untuk memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia dengan memperkenalkan satu skim perkhidmatan atau pun skim persaraan yang baik. Setelah 2 tahun bekerja, hasrat saya tidak tercapai. Nampaknya saya perlu menyumbang dalam bentuk yang lain. Kerjaya sebagai pensyarah pula muncul. Saya rasa ia juga satu medan yang subur untuk menyumbang kepada negara. Seterusnya bermulalah kerjaya saya sebagai pensyarah. Saya rasa ia satu kerja yang mulia. Dapat mendidik anak bangsa menuju matlamat yang diredai, mengajarkan ilmu yang bermanfaat dan mencipta produk baru untuk manfaat manusia. Saya teringat akan sabda Nabi s.a.w bermaksud:
"Apabila meninggal anak Adam terputuslah segala amalannya kecuali dari 3 sumber iaitu sedekah yang diberikan, ilmu bermanfaat yang diajarkan dan anak soleh yang selalu mendoakan"
Semuga Allah sentiasa menambahkan keberkatannya.

Sunday, December 13, 2009

Makna Hidup Adalah Dalam Memberi



Apabila mengunjungi pusat perniagaan, banyak tawaran percuma yang dapat dilihat. Namun semua iklan 'percuma' tersebut adalah untuk melariskan jualan mereka. Anak2 dan pengguna senang ditarik oleh iklan sebegini. Saya cukup bimbang kesannya ke atas pendidikan anak2. Mereka akan terbiasa untuk menjadi 'penerima barangan percuma'. Sedangkan dalam hidup ini sepatutnya mereka menjadi golongan yang banyak memberi. 'Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah'. Untuk menjadi 'pemberi' atau 'penyumbang' atau 'sukarelawan', kita perlu memiliki sesuatu, barulah ia dapat diberikan. Anak2 perlu dilatih agar mereka menjadi 'manusia yang bermanfaat kepada orang lain'. Sebenarnya banyak perkara yang dapat kita sumbangkan. Contohnya, sumbangan bantuan kemanusiaan untuk mangsa bencana alam, ana2 yatim, masyakat tertindas di Palestin, tuisyen akademik untuk pelajar miskin, bersihkan tandas masjid dan surau, sumbangan nasihat baik untuk rakan dan taulan. Yang paling mudah adalah sumbangan senyuman ikhlas yang menyenangkan hati. Hidup akan lebih bermakna apabila kita banyak memberi daripada menerima. Semuga Allah kayakan hati kita.

Wednesday, December 9, 2009

Manfaatkan Umur, Harta dan Ilmu


Dalam hidup ini, masa akan terus berlalu tanpa menunggu sesiapa. Dalam surah Al-Asr Allah mengingatkan manusia agar menjaga masanya agar tidak kerugian di akhirat nanti. Beruntungnya orang2 yang beriman dan beramal soleh dan berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran kerana mereka telah mendapat hidayah dari Allah untuk menjalani hidup ini di atas jalan yang sebenar. Itulah nikmat besar yang Allah berikan kepada muslim sehingga mereka tidak teraba-raba mencari kepuasan hati dalam hidup ini. Marilah sama-sama kita ambil pengajaran dari nasihat junjungan Rasul mulia s.a.w.Nabi Muhammad s.a.w menegaskan bermaksud:

”Tidak akan lepas dua kaki anak Adam di akhirat kecuali setelah ditanyakan lima perkara:

Tentang umurnya, di mana ia habiskannya.

Tentang masa mudanya, bagaimana ia gunakan.

Tentang hartanya, dari mana ia perolehinya dan bagaimana ia dibelanjakan.

Tentang ilmunya, apakah yang dilakukan.” HR At-Tarmizi. Shahih.no.2416.


Umur dan masa muda adalah dua perkara berkaitan dengan masa, akan dihitungkan.

Harta dinilai cara mendapatkannya dan cara membelanjakannya.

Ilmu akan dinilai cara kita menggunakannya.


Cahaya petunjuk sentiasa bersinar, ikutilah ia. Alhamdullilah.

Sunday, October 25, 2009

Bina Kesedaran Sebenar


Syukur kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang kepada kita semua. Rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa mengiringi kehidupan sama kita sedar atau pun tidak. Semenjak kita masih di alam roh lagi Allah telah memuliakan kita sebagai 'tiupan dari roh Nya'. Di alam rahim pula kita adalah satu yang terbaik dari berbilion sel yang Allah ciptakan. Bila lahir ke dunia kita adalah 'ahsani takwim', ciptaan Allah yang paling baik. Kemudian Allah memberikan kita penjagaan dan pengawasan sepanjang masa melalui ibubapa, ahli keluarga dan rakan taulan. Allah bekalkan kita dengan tubuh badan yang sihat, akal yang sempurna, rezeki yang halal dan baik, dan terpenting adalah 'taufik dan hidayah' untuk kita sentiasa beriman kepada Nya.

Namun ramai juga yang terlupa akan kemurahan dan kasih sayang Allah kepada kita. Mungkin kerana kesibukan urusan harian yang dilalui ataupun kurangnya ilmu atau kurangnya tafakur kita kepada penciptaan Allah swt. Ramai juga yang tercari2 akan matlamat hidup yang sebenar. Hati sentiasa merasa seperti kehilangan sesuatu.....

Sebenarnya terdapat perbezaan di antara mereka yang beramal dengan Islam secara warisan dengan mereka yang mengambil Islam dengan mujahadah mencari kebenaran. Contoh amalan Islam dalam masyarakat amat banyak, di mana mereka yang menerima Islam secara SEDAR akan mempunyai iltizam, istiqamah dan pengorbanan yang lebih besar berbanding mereka yang menerima Islam secara warisan sahaja.

Oleh itu, rendahkanlah hati kita kepada Allah swt, mohonlah petunjuk dan hidayahNya agar diberikan cahaya yang akan melapangkan dada untuk menghayati Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Marilah kita mohonkan KESEDARAN, KEFAHAMAN DAN KEYAKINAN yang sebenar. Hati ini perlu diproses secara berterusan dengan didikan Islam. Kasih sayang Allah sentiasa bersama kita. Alhamdulillah.

Inovasi dan invensi (I&I)


IID Johor 2009 pada peringkat UiTM negeri Johor baru sahaja selesai dijalankan pada 21-22 Oktober yang lepas. Sebanyak 62 produk telah mendaftar. Tahniah kepada pihak pengurusan UiTM Johor dan Ahli Jawatankuasa yang berkerja keras untuk menjayakannya. Tahniah juga kepada semua peserta dan pemenang. Semuga budaya berinovasi dan berinvensi terus subur dalam amalan kita seharian. Saya juga tumpang seronok kerana dapat bersama2 menjayakan aktiviti ini bersama rakan2.

Pada amatan saya, budaya perlu disemai pada usia muda lagi dengan anak2 untuk berfikir dan bertindak secara kreatif. Sememangnya anak2 suka kepada benda2 yang baru. Bagi rakan2 Sains Sosial yang baru mengenali, I&I mudah dilakukan dengan kerjasama antara bidang, contohnya dengan bidang IT, matematik dan Sains Pengurusan. Bidang kita kaya dengan pelbagai model, jadi untuk menjadinya praktikal maka ia perlu dijadikan satu produk yang boleh berfungsi, contohnya sebagai satu software, prosedur kerja atau pun index. Dari situ maklumat dari model yang dihasilkan akan dapat dimanfaatkan.

Sekiranya kita dapat meninggalkan satu produk yang bermanfaat bagi kehidupan manusia, maka ganjaran kebajikannya amat besar di sisi Allah. Selamat ber I&I sepanjang hayat.

Sunday, October 4, 2009

Keberkatan Masa


Masa adalah kehidupan. Ia akan terus datang dan pergi tanpa menunggu sesiapa. Masa akan menjadi saksi di akhirat nanti di atas semua amal dan kerja yang dilakukan. Oleh itu ia perlu diisi dengan sebaik mungkin. Dalam surah al-Asr Allah berfirman bermaksud:

"Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Saling pesan memesan atas kebenaran dan pesan memesan atas kesabaran".

Amat jelas peringatan dari Allah. Kita mesti beriman dan beramal soleh. Berpegang teguh dengan kebenaran dengan penuh sabar. Saling ingat memperingati. Untungnya hidup ini bila kita dapat laksanakannya.

Mengikut pepatah arab, " Masa seumpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong diri mu". Maknanya jika kita tidak 'memotong dan membahagikan ' masa kepada perkara berfaedah maka kita yang akan kerugian. Pepatah melayu pula menyatakan, "Masa itu emas". Maknanya ia amat bernilai untuk dibiarkan begitu sahaja.

Kesempatan masa hidup yang dikurniakan Allah perlu disyukuri dan dimanfaatkan sepenuhnya. Terlalu banyak amal Islami yang perlu dilaksanakan. Kita perlu cekap merancang, bertindak, bekerjasama, 'multitasking' dan berani mengambil 'calculated risk' dalam beramal.

Ya Allah berilah kami keberkatan masa dalam beramal.

Monday, September 28, 2009

Pencarian Ilmu


"Significant and new". Itulah perkara yang di cari untuk di sumbangkan dalam kajian phd. Ia menjadi syarat utama untuk membolehkan sesuatu kajian memenuhi syarat bagi dianugerahkan ijazah tersebut. Pada peringkat awal kajian, agak sukar untuk mengisi ruang ilmu yang perlu diisi. Namun setelah melalui proses pembacaan yang luas dan mengkhusus, perbincangan, konferensi dan penjanaan minda, aspek 'vacancy' tersebut akan mula terbuka sedikit demi sedikit. Akhirnya penyelidik akan menemui aspek yang boleh disumbangkan untuk mengembangkan 'body of knowledge'. Ianya satu proses yang menyeronokkan. Lebih teruja apabila kita melakukan kajian yang 'cross field'. Penemuan baru dengan kaedah yang baru atau model yang baru atau persepsi yang baru akan menjadi sumbangan kepada dunia keilmuan. Rupa2nya kajian penyelidik hanyalah satu zarah ilmu dalam satu disiplin ilmu dari satu cabang ilmu di dalam lautan ilmu yang luas. Banyak lagi perkara yang perlu diselidiki. Rakan saya pernah menasihati, apabila membuat penyelidikan pastikan ia akan memberi sumbangan kepada pembangunan modal insan dan kemanusiaan. Barulah hasilnya lebih memuaskan hati dan perasaan. Jadi jangan malas untuk menyelidik, di sana terdapat mutiara berharga yang membawa kepada ayat2 kebesaranNya. Apa yang anda temui?

Saturday, September 26, 2009

Perjalanan Mendaki


Setelah seminggu menyambut aidilfitri bersama keluarga dan saudara mara, kebanyakan warga kini kembali ke tempat kerja masing2. Di tempat kerja, sambutan di peringkat jabatan pula akan menjadi rutin tahunan. Begitulah sambutan kita saban tahun. Di samping kemeriahan berhariraya, janganlah dilupakan didikan Ramadan kepada kita. Semuga kesan 'TAQWA' yang Allah ingin kita capai, dapat dicapai. Bekalan taqwa inilah yang akan kita bawa dalam meneruskan kehidupan kita ke sebelas bulan ke hadapan sehingga bertemu pula Ramadan tahun depan, insyaAllah. Seronok rasanya bila kita sama2 dapat menjaga solat berjemaah, berpuasa sunat syawal 6 hari, menjalin ukhwah, ziarah menziarahi dan bertadarus Al-Quran bersama. Begitulah cantiknya didikan Ramadan kepada kita. Bagaimanapun untuk beristiqamah dengan latihan Ramadan ni, emm.., satu yang mendaki sebenarnya. Satu cabaran. Tapi dengan taqwa semuanya menjadi ringan, insyaAllah. Semuga kita mendapat pertolongan dan bimbingan dariNya.

Musafir Bersama

Perjalanan jauh bersama isteri dan anak2 untuk balik berharirya di kampung bersama ibubapa, adik beradik dan saudara mara adalah detik yang amat menggembirakan. Penat? Memang memenatkan, namun ia tetap menyeronokkan. Musafir bersama keluarga ni menjadi satu medan tarbiyah bagi anak dan diri sendiri. Pertamanya, perjalanan dimulakan dengan doa naik kenderaan yang dibaca sama2 memohon keselamatan dari Allah swt. Ke duanya, panorama alam sekitar, tumbuhan, langit dan awan, bukit, ladang, laut dan sungai, ikan dan burung, semuanya adalah ayat2 kebesaran Allah yang menjadi alat untuk mendidik anak2 dan hati ini. Ketiganya, inilah masa yang sesuai untuk menambahkan interaksi sesama anggota keluarga. Perjalanan panjang selamat hampir 12 jam berkereta menjadikan hubungan kekeluargaan semakin rapat. Sememangnya semua anak mempunyai keperibadian yang berbeza. Itulah uniknya ciptaan Allah. Walaupun berasal dari ibubapa yang sama, pendidikan yang sama, pemakanan yang sama, namun keperibadiannya tidak sama. Mungkin itulah salah satu sebab Rasullulah meletakkan syarat bermusafir bersama sebagai satu ukuran ukhwah/perkenalan dengan seseorang.
Itulah sedikit hikmahnya tinggal di perantauan...

Aidilfitri 2009

Setelah sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, Aidilfitri kini menjelma sudah. Perasaan gembira dan sedih muncul dalam jiwa. Bersyukur dan gembira dengan kurniaan Allah sehingga dapat menjalani ibadat puasa dengan selamat dan sejahtera, berserta dengan rahmat, pengampunan dan kasih sayang Allah dari awal sehinggalah ke akhir Ramadhan. Gembira dan bersyukur juga dengan kesempatan untuk bertakbir dan bertahmid memujiNya di pagi aidilfitri. Perasaan sedih pula muncul bersama kebimbangan jika amalan tidak diterima. Itulah cantiknya iman dan syariat Islam. Deen Islam sentiasa memelihara maslahat muslim dalam beramal agar ia benar2 bersih kerana Allah swt. Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin telah membincangkan tajuk takut dan harap dalam kehidupan muslim. Perasaan ini perlu ada hati muslim agar mereka sedar bahawa segala amalan itu adalah dengan taufik dan hidayah dari Allah semata. Ia akan membawa kita kepada sifat beryukur dengan nikmat Allah dan menjauhi kita dari sifat ujub dan bangga diri. Semuga Allah sentiasa membimbing kita ke arah jalan yang diredaiNya.

Thursday, May 7, 2009

Ingin berjaya?

Alhamdulillah, setelah lama menyimpan hasrat untuk sama-sama dengan rakan blogger untuk berkongsi maklumat. Setelah kembali dari kelas malam tadi saya terfikir macamana nak mempraktikkan segala ilmu yang diperolehi. Rasullulah pernah bersabda bermaksud "Barang siapa inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat hendaklah dengan ilmu, dan barangsiapa yang inginkan kedua-duanya, juga hendaklah dengan ilmu". Begitu jelas pesanan Rasullulah kepada kita. Ia menjadi tips kepada kita bagaimana untuk berjaya dalam hidup ini. Dengan ilmu ia menjadi panduan kepada kita dalam membuat apa juga keputusan. Jika benar ilmu yang dimiliki maka akan tepatlah keputusan yang dibuat. Begitulah juga jika sebaliknya.


Jadi sumber ilmu perlu dipelihara. Pastikan kita mendapat ilmu dari sumber yang soheh dan soleh. Sumber utama ilmu kita adalah Al-Quran dan Al-Sunnah. Ia menyediakan panduan lengkap dalam seluruh kehidupan kita.