Sunday, October 4, 2009

Keberkatan Masa


Masa adalah kehidupan. Ia akan terus datang dan pergi tanpa menunggu sesiapa. Masa akan menjadi saksi di akhirat nanti di atas semua amal dan kerja yang dilakukan. Oleh itu ia perlu diisi dengan sebaik mungkin. Dalam surah al-Asr Allah berfirman bermaksud:

"Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Saling pesan memesan atas kebenaran dan pesan memesan atas kesabaran".

Amat jelas peringatan dari Allah. Kita mesti beriman dan beramal soleh. Berpegang teguh dengan kebenaran dengan penuh sabar. Saling ingat memperingati. Untungnya hidup ini bila kita dapat laksanakannya.

Mengikut pepatah arab, " Masa seumpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong diri mu". Maknanya jika kita tidak 'memotong dan membahagikan ' masa kepada perkara berfaedah maka kita yang akan kerugian. Pepatah melayu pula menyatakan, "Masa itu emas". Maknanya ia amat bernilai untuk dibiarkan begitu sahaja.

Kesempatan masa hidup yang dikurniakan Allah perlu disyukuri dan dimanfaatkan sepenuhnya. Terlalu banyak amal Islami yang perlu dilaksanakan. Kita perlu cekap merancang, bertindak, bekerjasama, 'multitasking' dan berani mengambil 'calculated risk' dalam beramal.

Ya Allah berilah kami keberkatan masa dalam beramal.

No comments:

Post a Comment