Sunday, October 25, 2009

Bina Kesedaran Sebenar


Syukur kepada Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang kepada kita semua. Rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa mengiringi kehidupan sama kita sedar atau pun tidak. Semenjak kita masih di alam roh lagi Allah telah memuliakan kita sebagai 'tiupan dari roh Nya'. Di alam rahim pula kita adalah satu yang terbaik dari berbilion sel yang Allah ciptakan. Bila lahir ke dunia kita adalah 'ahsani takwim', ciptaan Allah yang paling baik. Kemudian Allah memberikan kita penjagaan dan pengawasan sepanjang masa melalui ibubapa, ahli keluarga dan rakan taulan. Allah bekalkan kita dengan tubuh badan yang sihat, akal yang sempurna, rezeki yang halal dan baik, dan terpenting adalah 'taufik dan hidayah' untuk kita sentiasa beriman kepada Nya.

Namun ramai juga yang terlupa akan kemurahan dan kasih sayang Allah kepada kita. Mungkin kerana kesibukan urusan harian yang dilalui ataupun kurangnya ilmu atau kurangnya tafakur kita kepada penciptaan Allah swt. Ramai juga yang tercari2 akan matlamat hidup yang sebenar. Hati sentiasa merasa seperti kehilangan sesuatu.....

Sebenarnya terdapat perbezaan di antara mereka yang beramal dengan Islam secara warisan dengan mereka yang mengambil Islam dengan mujahadah mencari kebenaran. Contoh amalan Islam dalam masyarakat amat banyak, di mana mereka yang menerima Islam secara SEDAR akan mempunyai iltizam, istiqamah dan pengorbanan yang lebih besar berbanding mereka yang menerima Islam secara warisan sahaja.

Oleh itu, rendahkanlah hati kita kepada Allah swt, mohonlah petunjuk dan hidayahNya agar diberikan cahaya yang akan melapangkan dada untuk menghayati Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Marilah kita mohonkan KESEDARAN, KEFAHAMAN DAN KEYAKINAN yang sebenar. Hati ini perlu diproses secara berterusan dengan didikan Islam. Kasih sayang Allah sentiasa bersama kita. Alhamdulillah.

Inovasi dan invensi (I&I)


IID Johor 2009 pada peringkat UiTM negeri Johor baru sahaja selesai dijalankan pada 21-22 Oktober yang lepas. Sebanyak 62 produk telah mendaftar. Tahniah kepada pihak pengurusan UiTM Johor dan Ahli Jawatankuasa yang berkerja keras untuk menjayakannya. Tahniah juga kepada semua peserta dan pemenang. Semuga budaya berinovasi dan berinvensi terus subur dalam amalan kita seharian. Saya juga tumpang seronok kerana dapat bersama2 menjayakan aktiviti ini bersama rakan2.

Pada amatan saya, budaya perlu disemai pada usia muda lagi dengan anak2 untuk berfikir dan bertindak secara kreatif. Sememangnya anak2 suka kepada benda2 yang baru. Bagi rakan2 Sains Sosial yang baru mengenali, I&I mudah dilakukan dengan kerjasama antara bidang, contohnya dengan bidang IT, matematik dan Sains Pengurusan. Bidang kita kaya dengan pelbagai model, jadi untuk menjadinya praktikal maka ia perlu dijadikan satu produk yang boleh berfungsi, contohnya sebagai satu software, prosedur kerja atau pun index. Dari situ maklumat dari model yang dihasilkan akan dapat dimanfaatkan.

Sekiranya kita dapat meninggalkan satu produk yang bermanfaat bagi kehidupan manusia, maka ganjaran kebajikannya amat besar di sisi Allah. Selamat ber I&I sepanjang hayat.

Sunday, October 4, 2009

Keberkatan Masa


Masa adalah kehidupan. Ia akan terus datang dan pergi tanpa menunggu sesiapa. Masa akan menjadi saksi di akhirat nanti di atas semua amal dan kerja yang dilakukan. Oleh itu ia perlu diisi dengan sebaik mungkin. Dalam surah al-Asr Allah berfirman bermaksud:

"Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Saling pesan memesan atas kebenaran dan pesan memesan atas kesabaran".

Amat jelas peringatan dari Allah. Kita mesti beriman dan beramal soleh. Berpegang teguh dengan kebenaran dengan penuh sabar. Saling ingat memperingati. Untungnya hidup ini bila kita dapat laksanakannya.

Mengikut pepatah arab, " Masa seumpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong diri mu". Maknanya jika kita tidak 'memotong dan membahagikan ' masa kepada perkara berfaedah maka kita yang akan kerugian. Pepatah melayu pula menyatakan, "Masa itu emas". Maknanya ia amat bernilai untuk dibiarkan begitu sahaja.

Kesempatan masa hidup yang dikurniakan Allah perlu disyukuri dan dimanfaatkan sepenuhnya. Terlalu banyak amal Islami yang perlu dilaksanakan. Kita perlu cekap merancang, bertindak, bekerjasama, 'multitasking' dan berani mengambil 'calculated risk' dalam beramal.

Ya Allah berilah kami keberkatan masa dalam beramal.